Kata Aluan Pengetua

salam

Alhamdulillah, sesi persekolahan akan bermula pada 3.1.2015 (Ahad). Marilah sama-sama kita berdoa dan bermunajat agar Allah s.w.t. memberi hidayah , kekuatan dan peluang untuk kita meneruskan kembara sebagai mualim, murabbi, muadib dan murshid dalam sesi baru 2015. Semoga fajar tahun ini merupakan lambaran untuk kita warnakan dengan aneka kejayaan dan kegemilangan sekolah.

     Saya merayu para guru agar terus berjihad dan bertekad memperkasakan usaha mendidik generasi muda menjadi insan yang berguna. Kesejahteraan dan kehidupan yang dinikmati pada hari ini adalah hasil sumbangan dan berkat kegigihan serta pengorbanan guru. Kita harus sedar peranan guru alaf baru menjadi semakin penting kerana bidang pendidikan merupakan penentu kejayaan sesebuah negara. Para guru berperanan untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara ke tahap bertaraf dunia. Oleh itu, semua guru digesa memiliki wawasan unggul dan akauntabiliti yang hebat untuk mentransformasikan pelbagai aspek pendidikan, di samping mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), dan berinovasi bagi meningkatkan keberhasilan sekolah dan kemenjadian murid. Malaysia kini berada di ambang Negara maju. Negara kita sedang melalui fasa transformasi penting yang akan menentukan samaada kita berjaya melangkah ke gerbang negara maju apabila munculnya fajar tahun 2020. Dalam era transformasi ini, seluruh minda dan kudrat perlu digembleng untuk memacu kemajuan negara dalam persekitaran global yang lebih mencabar dan bidang pendidikan menjadi indikatornya. Menyediakan pendidikan yang berkualiti merupakan wadah bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan , berkemahiran tinggi, kreatif, inovatifdan berdaya saing. Generasi inilah yang bakal menjanakan kemajuan dan pembangunan negara yang sejahtera.

     Dalam persaingan global yang sangat kompetetif, negara kita perlu lebih pantas kehadapan untuk diiktiraf sebagai sebuah Negara maju menjelang tahun 2020. Bertitik tolak daripada kesedaran itu maka terhasillah sebuah referendum pendidikan yang bersejarah, iaitu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 hasil daripada Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara. PPPM ini merupakan naskhah murni yang melambangkan cita-cita dan pengharapan rakyat terhadap sistem pendidikan negara. Saya menyeru semua guru agar dapat menyelami dan menghayati maksud dan intipati referendum ini dengan sebaik mungkin dalam meneruskan kelangsungan sistem pendidikan negara yang bertaraf dunia. Ilmu pengetahuan merupakan asas terpenting menyelamatkan manusia daripada dibelenggu kemunduran. Justeru, pendidikan dan penghayatan ilmu perlu sentiasa dimantapkan  agar kita kekal relevan dalam persaingan menuju negara maju.

     Sejajar dengan tuntutan itu, saya bersyukur kerana memiliki kumpulan kerja yang sangat komited. Sebenarnya, kita telah dan sedang memugar keringat dan terus mencantum kesepakatan untuk memastikan impian sekolah “SMKR” ke arah kecemerlangan dan kegemilangan menjadi kenyataan. Usaha yang murni serta istiqamah, in sya Allah akan memastikan kita dapat melahirkan pelajar yang cemerlang akademik, kokurikulum, sahsiah dan kuat pegangan agama. Kita juga telah bersatu hati merealisasikan semua harapan dalam pendidikan menjadi kenyataan yang gemilang.

     Saya juga berharap agar semua guru dan kakitangan pelaksana akan memastikan tiga gelombang, lima aspirasi sistem, enam aspirasi murid, dan 11 anjakan dijadikan agenda yang berterusan untuk mencipta lebih banyak kejayaan. Semua warga SMKR yang terdiri daripada guru, kakitangan pelaksana, pihak PIBG dan Kumpulan Sokongan Ibubapa (KISB) serta kakitangan swasta merupakan pelengkap usaha dalam mengemudi bahtera kejayaan. Terima kasih kepada semua pihak yang terus menerus memperkasakan pendidikan kita. Semoga kita sentiasa diberkati Allah s.w.t.

Sekian, terima kasih.

No Comments Yet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Jam Digital

Lagu Sekolah

Kalendar Hijriah

November 2017
S M T W T F S
« Mar    
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
2627282930  

Senarai Guru Bertugas Mingguan

15 JANUARI - 19 JANUARI 2017

EN. MOHD ZAHARI MAT ALI (KETUA)
EN. MOHD NASHRUDDIN AHMAD
PN. FATIMAH MOHD YASSIN
PN. DZUNEEKA MOHAMED
PN. NURUL AKMAL A. RAZAK
PN. ZAINUN IBRAHIM
PN.SAIDATINA BINTI ALI

Komen Terkini